Pembangunan Plants vs. Zombies (permainan video)

Konsep

George Fan (gambar pada 2018) ialah pencipta Plants vs. Zombies.

Plants vs. Zombies telah direka oleh George Fan. Membayangkan versi Insaniquarium (2001)—permainan video lepasnya—yang lebih berorientasikan pertahanan, dan telah bermain beberapa mod pertahanan menara bagi permainan video Warcraft III, dia mendapat inspirasi untuk mencipta permainan pertahanan menara.[13] George mempertimbangkan untuk mencipta sekuel bagi Insaniquarium untuk konsol Nintendo DS, setiap skrin akan mewakili tangki ikan yang berasingan—satu di atas yang selebihnya. Alien akan menyerang tangki ikan atas dan, jika berjaya, akan memecah masuk ke dalam tangki ikan bawah. Tatacara permainan dalam tangki atas memfokuskan kepada pertahanan terhadap makhluk asing, manakala dalam tangki bawah tatacara permainan berasaskan penjanaan sumber bahan, seiras dengan tatacara Insaniquarium.[14] Namun, diilhamkan oleh menara Warcraft III, dia merasakan bahawa tumbuhan akan membuat struktur pertahanan yang baik. Dia mahu membawa konsep baharu kepada genre itu dan percaya bahawa perilaku musuh dalam permainan pertahanan menara yang tidak menyerang menara adalah tidak intuitif. Untuk menangani perkara ini, dia mula mereka bentuk tetapan lima lorong dan enam lorong yang kemudiannya akan digunakan dalam permainan muktamad.[15][16] Pada mulanya, musuh merupakan makhluk asing dari Insaniquarium, tetapi semasa Fan sedang melakar seni konsep, dia melukis apa yang dianggapnya sebagai "zombie yang sempurna", dan tema permainan diolah semula.[17][11] George menggunakan zombi dan bukannya makhluk asing untuk menonjolkan permainan ini daripada permainan video lain yang menggunakan tumbuhan.[15]

Insaniquarium sangat banyak mempengaruhi perkembangan Plants vs. Zombies. Kedua-dua permainan mempunyai kadar tatacara yang sama, ditentukan oleh "pemberian makanan" haiwan peliharaan dan tumbuhan masing-masing, dan memilih tumbuhan pada permulaan setiap pusingan Plants vs. Zombies adalah serupa dengan memilih haiwan peliharaan dalam Insaniquarium.[16] George juga diilhamkan oleh filem Swiss Family Robinson, di mana sebuah keluarga mempertahankan diri dan rumah mereka terhadap lanun.[13][18] George menyertakan elemen daripada permainan kad dagangan Magic: The Gathering, yang pernah dimainkannya bersama teman wanitanya, Laura Shigihara. Menunjukkan kepada teman wanitanya cara menyesuaikan dek kad mereka memberi ilham kepadanya untuk mereka bentuk paket benih tumbuhan dalam Plants vs. Zombies—bukannya idea asalnya iaitu tali sawat penyampai yang memberikan tumbuhan secara rawak—disebabkan oleh kerumitan sistem paket benih yang lebih baik. Walaupun tali sawat penyampai tersebut telah digugurkan daripada mod permainan biasa, ciri tersebut kekal sebagai elemen istimewa dalam pusingan-pusingan yang terpilih.[15] Penggunaan multitugas antara lorong telah dipengaruhi oleh permainan arked lamaTapper.[16]

Apabila permainan tersebut menampilkan makhluk asing, tajuk asalnya merupakan Weedlings,[14][18] tetapi George menganggap nama itu kurang sesuai kerana banyak permainan video bertemakan berkebun dikeluarkan pada masa itu.[15] Permainan tersebut ditukarkan nama kepada Plants vs. Zombies sebagai nama sementara selepas musuh ditukar.[19] Nama yang dirancang semasa hampir keseluruhan tempoh pembangunan ialah Lawn of the Dead, permainan kata-kata merujuk kepada tajuk filem zombi George A. Romero, Dawn of the Dead.[20] Romero tidak membenarkan penggunaan nama itu, walaupun selepas rayuan daripada George, yang menghantar Romero sebuah video yang menampilkan George berpakaian seperti Zombie Temp Worker merengus dan menggunakan komputer, disertakan sarikata yang merujuk kepada ralat pengaturcaraan.[19][21] Terdapat banyak calon nama lain, termasuk Residential Evil dan Bloom & Doom. Bloom & Doom kemudiannya digunakan sebagai penjenamaan pada paket benih dalam permainan.[19][22]

Reka bentuk

Plants vs. Zombies pada awalnya direka cipta oleh George sahaja.[18] Oleh kerana George merupakan pekerja sepenuh masa di PopCap Games, syarikat permainan video itu membantu membina pasukan kecil yang terdiri daripada seorang komposer (Laura Shigihara), seorang pengaturcara (Tod Semple) dan seorang artis (Rich Werner).[16] George berpangkalan di San Francisco, manakala Werner berada di Seattle.[20] Stephen Notley dikreditkan sebagai penulis untuk Plants vs. Zombies.[6] Dia menulis perihalan tumbuhan dan zombi dalam panduan dalam permainan, Suburban Alamanac. George berpendapat bahawa bekerja dalam pasukan kecil lebih mudah daripada bekerja dalam pasukan besar.[14][18] Menurut temu bual dengan Edge, semasa mencari artis, George menemui Rich Werner, yang mana George menganggap karyanya sepadan dengan idea reka bentuknya. George mengaitkan daya tarikan reka bentuk itu kepada skema animasinya; Tod Semple mencadangkan menggunakan Adobe Flash, yang George bimbang akan menghasilkan animasi yang "dipotong dari kertas" dan terlalu mirip dengan South Park, tetapi dia akhirnya berpuas hati, memuji bakat Semple dan Werner.[11] Plants vs. Zombies telah dicipta menggunakan enjin PopCap Games sendiri: PopCap Framework.[6] George secara berterusan mengongsikan pengemaskinian Plants vs. Zombies setiap empat bulan dalam forum dalaman dalam PopCap Games yang dipanggil Burrito, di mana dia menerima maklum balas daripada pekerja PopCap.[14][16]

Apabila konsep Tumbuhan vs. Zombi pada awalnya ditubuhkan sebagai sekuel kepada Insaniquarium, George ingin membuat permainan di mana makhluk asing menyerang kebun pemain.[18] Asalnya, niatnya adalah untuk membuat permainan berkebun di mana tumbuh-tumbuhan ditanam sebagai pelaburan untuk mendapatkan pertahanan terhadap serangan makhluk asing.[18][14] Selepas George mencipta "zombie yang sempurna", musuh telah ditukar daripada makhluk asing kepada zombi.[17] Dia menggugurkan konsep mempertahankan dan menjaga kebun secara serentak, berpendapat bahawa berkebun yang berulang-ulang menjejaskan tatacara permainan yang utama.[18][11] Meringkaskan sistem berkebun, George menyusun semula aspek-aspek utama permainan agar lebih sesuai dengan genre pertahanan menara,[18][11] dan kemudiannya menambah unsur-unsur selanjutnya yang diilhamkan oleh permainan lain.[16] George suka akan idea tumbuhan mempertahankan diri daripada zombi, menggabungkan dua spesies berbeza yang belum disentuh oleh pembangun permainan yang lain pada masa itu.[18] Tumbuhan yang memainkan peranan sebagai menara masuk akal bagi George, bertindak sebagai pertahanan tetap terhadap gelombang zombi yang berulang.[16] Zombi telah direka untuk bergerak dalam sistem lima lorong dan enam lorong yang linear dalam permainan muktamad,[15][16] membenarkan zombi musuh untuk berinteraksi dengan tumbuhan pertahanan, sebuah penambahbaikan dalam permainan yang George merasakan sebuah mekanik tatacara permainan yang unik untuk membuat Plants vs. Zombi menonjol dalam genre pertahanan menara antara permainan pertahanan menara lain yang popular pada masa itu.[16]

Plants vs. Zombies mengambil masa tiga setengah tahun untuk dicipta.[18] Kebanyakan tempoh pembanguan tahun pertama memfokuskan kepada mod pengembaraan. Semple mula mengusahakan idea yang kemudiannya digunakan untuk mod permainan mini.[11] Beberapa idea untuk bahagian mod teka-teki kemudiannya diubah suai dan dialihkan ke mod pengembaraan: "Vasebreaker" dan "I, Zombie", contohnya, datang daripada konsep pusingan tunggal untuk mod permainan mini. Semasa pengujian, George mendapati bahawa mod permainan mini dan teka-teki menarik daripada fokus pada mod pengembaraan, jadi dia mengunci kebanyakan mod tambahan, memerlukan kemajuan dalam mod pengembaraan untuk membukanya.[11] Setelah itu, perkembangan Plants vs. Zombies terdiri daripada George yang menguji permainan tersebut dan menulis nota tentang perkara yang boleh dilakukan untuk mengubahnya sebelum menghantarnya ke Semple.[23] Tahun terakhir pembangunan terdiri daripada pasukan pembangun tersebut menyempurnakan Plants vs. Zombies sebelum diterbitkan.[18]

Salah satu aspek kritikal pembangunan ialah mereka bentuk Plants vs. Zombies supaya seimbang antara permainan tegar dan permainan kasual.[11][23] George memperkenalkan cara tatacara permainan secara ringkas dan menyebarkannya secara merata dalam permainan untuk menarik pemain kasual. Pemain belajar tatacara permainan dengan melakukan tindakan, dan bukannya membaca tentang cara melakukan tindakan tersebut. Mesej dalam permainan juga dibuat sependek dan semudah yang boleh dibaca; dengan dialog daripada Crazy Dave dipecahkan kepada ketulan teks yang kecil untuk dipadankan dengan idea ini. Mesej dalam permainan juga direka untuk berpadanan dengan tahap kemahiran pemain; contohnya ialah mesej yang memberitahu pemain untuk meletakkan Peashooters lebih jauh ke kiri hanya akan muncul pada pusingan yang awal jika Peashooter diletakkan di sebelah kanan halaman dan dimakan.[24][25] Pasukan pembangun tersebut mendapati bahawa pemain yang baru menceburi diri dalam genre strategi masa sebenar sering mengalami kesukaran mempelajari kepentingan pengumpulan mata wang matahari. Harga Sunflowers yang menjana pendapatan dikurangkan separuh, menggalakkan pemain untuk membelinya dan bukannya Peashooter yang menyerang sahaja. Perubahan itu memaksa penstrukturan semula untuk keseimbangan antara tumbuhan dan zombi, satu langkah yang George katakan amat berbaloi dibandingkan dengan usahanya.[16][25]

Watak-watak

Pada awal tempoh pembangunan Plants vs. Zombies, masa diluangkan untuk memikirkan idea bagi watak-watak.[16] George sengaja memberi semua tumbuhan dan zombi nama masing-masing yang sepadan dengan fungsi mereka tersendiri, melakar watak-watak tersebut yang sepadan dengan fungsi—contohnya, Peashooter menembak peluru kacang. George juga membuat semua tumbuhan tidak bergerak dan semua zombi bergerak dengan perlahan melintasi lorong supaya pemain kasual akan memahami bahawa menara (tumbuhan yang berakar) tidak boleh bergerak dan penyerang (zombi yang tidak berfikiran) bergerak perlahan-lahan.[24] Lakaran akhir zombi dan tumbuhan berubah sedikit dari lakaran asal.[11] Satu-satunya watak manusia permainan itu, Crazy Dave, merupakan parodi kepada seseorang yang dikenali oleh George. Crazy Dave menampilkan persembahan vokal oleh George.[20]

Permainan muktamad mempunyai 49 jenis tumbuhan.[6] George menyatakan kesukaan terhadap tumbuhan Tall-Nut, Torchwood, dan Cob Cannon. Dia menyukai perwatakan Tall-Nut itu, memetik "pandangan yang nekad" dan perilaku tumbuhan tersebut yang mengeluarkan setitik air mata apabila dilukai. Dari segi strategi, dia menyukai Torchwood—yang memberikan peluru api kepada Peashooters—memerlukan pemain untuk mempertimbangkan cara tumbuhan berinteraksi antara satu sama lain.[16] George juga menyukai Squash, kerana permainan perkataan namanya; tumbuhan itu menghancurkan (squashes) zombi.[23] Satu cadangan tumbuhan merupakan tumbuhan yang akan diletakkan di atas tumbuhan lain untuk melindungi tumbuhan yang di bawah daripada Bungee Zombies dan Catapult Zombies; namun, kesukaran dialami untuk menggambarkan posisi tumbuhan ini.[11] Item pertahanan yang serupa (Umbrella Leaf) berjaya dimasukkan dalam permainan muktamad, melindungi tumbuhan daripada zombi-zombi yang tertera, tetapi diletakkan di sebelah tumbuhan; bukan di atasnya. Banyak tumbuhan berpotensi mempunyai lakaran konsep tetapi tidak ditampilkan dalam versi muktamad Plants vs. Zombies.[13]

Plants vs. Zombies mempunyai 26 jenis zombi. Zombi kegemaran George ialah Dr. Zomboss; pasukan pembangun itu menghabiskan masa sebulan untuk mencipta pusingan menentang melawannya pada penghujung permainan.[23] George menyukai Pole Vaulting Zombie kerana kejutan yang berkemungkinan dialami oleh pemain apabila menemuinya untuk pertama kali; dia memberi contoh pemain gagal menyekatnya dengan tumbuhan Wall-Nut, dengan zombi melompat melepasi halangan tersebut.[16] Lakaran pertama Newspaper Zombie hanya mempamerkan zombi tersebut membaca surat khabar, tetapi Werner menukarkan perwatakan zombi itu menjadi zombi yang membaca di tandas. Abang George bertanya kepadanya sama ada dia mencipta zombi tersebut berdasarkan bapa mereka, kerana bapa mereka sering membaca surat khabar di tandas. George berkata walaupun dia tidak berniat sedemikian, kisah tersebut merupakan kisah belakang zombi kegemarannya.[20] Dancing Zombie pada mulanya menyerupai Michael Jackson dari video muzik "Thriller".[3] Zombi itu wujud dalam permainan sebelum kematian Michael Jackson, tetapi pihak bagi penghibur itu membantah zombi tersebut berada dalam permainan lebih setahun selepas kematiannya; PopCap menggantikan lakaran zombi itu dengan zombi penari disko yang biasa.[26] Banyak zombi lain telah digugurkan semasa tempoh pembangunan.[20]

Runut bunyi

Laura Shigihara mengarang runut bunyi Plants vs. Zombies, menggunakan elemen daripada muzik pop dan chiptune konsol. Sebelum permainan tersebut difikirkan, George meminta Shigihara untuk mengarang muzik untuk permainan seterusnya kerana dia mengagumi muziknya. Shigihara mendapat pengaruh daripada runut bunyi Danny Elfman dan pelbagai gaya muzik: Satu lagu menggunakan perkusi pancaragam berbaris dan swing; satu lagi menggunakan rentak tekno dengan bunyi "organik".[27] Sarjana muzik filem KJ Donnelly mendapati muzik itu cerah dan "seperti kartun". Dia menyatakan muzik itu tidak terikat secara dinamik kepada permainan, tetapi sebaliknya berkembang secara bebas. Dia menyatakan reka bentuk runut bunyi dalam gaya progresif, "hampir selari dengan perkembangan [tatacara] permainan".[28]

Shigihara menyifatkan muzik itu sebagai "mengerikan, akan tetapi lucu". Meneliti peringkat-peringkat waktu malam, dia menjelaskan bahawa dia menggunakan gabungan rentak swing band besar dengan "beberapa melodi yang menghantui dan serius". Lagu "Loonboon" dan "Brainiac Maniac" telah dikarang menjelang akhir-akhir tempoh pembangunan. Shigihara berkata ini adalah lagu-lagu yang dia karang agar sesuai dengan atmosfera permainan itu selepas memainkan permainan itu dua kali.[27] Shigihara mengarang dan mempersembahkan video muzik yang ditunjukkan semasa kredit permainan, bertajuk "Zombies on Your Lawn". Lagu ini diilhamkan oleh "Still Alive", yang dimainkan pada penghujung permainan video, Portal.[18] Lagu-lagu Plants vs. Zombies akhirnya diterbitkan sebagai sebahagian daripada album runut bunyi yang boleh dimuat turun.[28]

Rujukan

WikiPedia: Plants vs. Zombies (permainan video) http://www.next-gen.biz/features/flower-defence http://www.next-gen.biz/features/flower-defence?pa... http://www.1up.com/do/newsStory?cId=3177955 http://www.1up.com/reviews/plants-vs-zombies http://appworld.blackberry.com/webstore/content/70... http://www.computerandvideogames.com/272672/golden... http://www.edge-online.com/reviews/review-plants-v... http://www.escapistmagazine.com/news/view/103702-P... http://www.gamasutra.com/php-bin/news_index.php?st... http://www.gamasutra.com/view/news/342128/Take_a_l...